Para SUKMA: Dua Lagi Emas Untuk Sarawak Dari Kolam Renang

Disiarkan pada 26 Sep 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Skuad Para Renang Sarawak menambah dua lagi pingat emas, empat perak dan tiga gangsa pada hari ketiga Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Atlet Para Renang berpengalaman, Fraidden Dawan memastikan tambahan kilauan emas menjadi miliknya selepas memenangi acara 50m Gaya Bebas Lelaki S10.

"Walau apa pun saya amat berbangga kerana masih lagi dapat bertanding dan mewakili Sarawak pada Temasya Para SUKMA 2024.

"Tidak lupa juga kepada ahli keluarga yang sentiasa menyokong saya setiap kali menyertai acara sebegini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat bertempat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada Rabu.

Sementara itu, pingat emas kedua disambar Rusdianto Rusmadi yang mengungguli kategori 200m Rampaian Individu Lelaki SM7/SM8 dan pingat perak diraih dalam kategori yang sama oleh Galang Jabai.

Bagi pingat perak untuk acara para renang berjaya diraih menerusi 50m Gaya Bebas Lelaki S8 oleh Rusdianto Rusmadi, Ng Jia Tak dalam 100m Gaya Kuak Lentang Lelaki S9 serta 50m Gaya Kuak Kupu-Kupu Lelaki S6/S7 yang disumbangkan oleh Galang Jabai.

Saingan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong turut menyaksikan tiga lagi pingat gangsa diperoleh Mully Andriano menerusi Rampaian Individu Lelaki SM9/SM10, 100m Gaya Bebas Lelaki S4/S5 menerusi Fattah Abdullah dan Hasroy Abu Bakar dalam acara 50m Gaya Kuak Lentang Lelaki S4/S5. -EDISI UKAS