Filemon Puas Sumbang Tiga Emas Untuk Sarawak

Disiarkan pada 26 Sep 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Atlet para olahraga, Filemon Lirong Dionisus menepati ramalan apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara trek 200 meter pada temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Atlet berbangsa Kenyah dari Kapit itu kini menyumbang emas ketiga kepada kontinjen Bumi Kenyalang.

Beliau berjaya mencatatkan masa 26.65 saat dalam acara lelaki T11 dan hampir memecah rekod kejohanan yang dipegang oleh atlet Penang sejak 2008 iaitu Yeoh Kok Soon yang mencatatkan masa 26.30 saat.

Filemon berjaya mengalahkan tiga pesaing iaitu atlet Johor Muhammad Rafique Farhan Saiful Nizam yang mencatatkan masa 27.65 saat sekali gus mendapat pingat perak.

Beliau juga berjaya mengalahkan rakan sepasukan, Ranggong Unggang yang membawa pulang gangsa dengan catatan 27.81 manakala atlet Pulau Pinang, Teoh Emin menamatkan perlumbaan di tempat terakhir dengan catatan 29.51 saat.

Sebelum ini, Filemon yang berusia 29 tahun turut memenangi dua emas masing-masing melalui acara trek 100 meter lelaki T11 dan 400 meter lelaki T11.

Ketika ditemui media, Filemon menzahirkan perasaan gembira kerana meraih tiga emas pada Para SUKMA terutamanya berentap di tempat sendiri.

“Saya tidak menjangka mendapat pingat emas ketiga kerana sasaran saya hanya dua, ditambah lagi dengan saya yang mengalami sedikit kecederaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar dapat terus mengekalkan momentum terkini terutamanya terus menguatkan diri bagi melayakkan diri ke acara yang lebih tinggi terutamanya Para Sukan Asia Tenggara kelak. - EDISI UKAS