KUCHING: Sesi Brainstorming Scorecard bagi Pentadbiran Bahagian Sarawak telah berlangsung dengan jayanya, melibatkan 26 pegawai dari pelbagai agensi termasuk Kementerian dan Unit-unit di Jabatan Premier Sarawak.
Sesi ini bertujuan untuk menetapkan pengukuran strategik yang selaras dengan sistem penyampaian perkhidmatan di peringkat Pentadbiran Bahagian di Sarawak.
Sesi yang turut dihadiri oleh Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak Superi Awang Said itu menekankan kepentingan kerjasama antara agensi berkepentingan.
Dalam ucapannya, Superi menggariskan bahawa agensi perlu lebih bekerjasama dan berkomunikasi dengan lebih efektif melalui pemantauan projek dan pelaksanaan program komuniti.
“Penglibatan agensi induk adalah elemen penting dalam merangka dasar dan menyediakan bimbingan yang diperlukan bagi memastikan pemantauan dan penilaian prestasi yang berkesan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, sesi tersebut turut menekankan bahawa pemantauan prestasi adalah kunci untuk memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan impak positif kepada masyarakat.
Dengan pengukuran prestasi yang tepat, diharapkan pencapaian matlamat strategik di Pentadbiran Bahagian Sarawak dapat dipertingkatkan. -EDISI UKAS