Projek Jalan Baru Belakang Kampung Bawang Akan Segera Disiapkan

Disiarkan pada 19 Apr 2024
Sumber Berita: ukas


MATU: Projek Jalan Baru Belakang Kampung Bawang akan segera disiapkan bagi menjamin keselesaan penduduk di situ.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek tersebut dilaksanakan serentak dengan projek belakang Kampung Tian.
 
Namun kawasan yang sentiasa ditenggelami air yang berpunca dari hutan dan limpahan air sungai ke tapak projek menyebabkan projek itu tergendala.
 
"Penyelesaian yang telah kita ambil ialah dengan melaksanakan projek pembersihan Sungai dari Sekaan Kecil hingga Kampung Bawang.
 
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan lebih RM800,000 dan penyerahan cek kepada pihak Majlis Daerah Matu Dan Daro (MDMD) untuk projek pembersihan sungai itu nanti akan diadakan pada minggu akan datang.
 
"Diharap projek jalan itu nanti akan siap sesegera mungkin kerana kemungkinan ada projek pembangunan lain akan dirancang setelah projek jalan itu siap nanti.
 
"Berkenaan projek 'resurface' Jalan Kampung Bawang, kita akan cuba masukkan dalam projek RTP tahun hadapan atau melalui MDMD untuk projek di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) ataupun apa-apa peruntukan lain yang boleh disegerakan," jelasnya.
 
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Peringkat Kampung Bawang Matu pada Rabu.
 
Pada program yang sama, Datuk Dr Juanda turut menyantuni masyarakat yang hadir dengan mengagihkan duit raya untuk berkongsi kegembiraan bersama masyarakat dalam menyambut lebaran.
 
Kerjasama gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bawang Hulu, Kampung Bawang Hilir dan Kampung Sekaan Kecil menjadikan majlis tersebut bertambah meriah dan secara tidak langsung mempamerkan kesatuan mereka dalam melaksanakan aktiviti di peringkat kampung.
 
Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Matu ADO Zaraina Sahari dan Penghulu Kampung Bawang Penghulu Arshad. -EDISI UKAS