Pertanian Pintar Realisasi Sarawak Jadi Negeri Pengeksport Makanan Menjelang 2030

Disiarkan pada 25 Sep 2024
Sumber Berita: Ukas


KOTA SAMARAHAN: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) menyeru golongan anak muda untuk menyertai pertanian pintar atau ‘Smart Farming’ dalam usaha merealisasikan hasrat Kerajaan Sarawak menjadi negeri pengeksport makanan menjelang tahun 2030.

Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, semua pemain industri perlu lebih pantas bergerak mengikuti transformasi sektor pertanian moden untuk mengejar cita-cita itu sekaligus meningkatkan pendapatan isi rumah para petani.

“Mengambil contoh, seorang jurutera mekanikal di Bintulu mahu menjadi petani dan kami beri setengah hektar tanah di Sibiew, namun dia berjaya menghasilkan tanaman buah tembikai, daun sup, kangkung dan sebagainya sehingga kini mendapat pendapatan sehingga RM9,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sini pada Rabu.

Majlis perasmian tersebut dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sementara itu, beliau memberitahu, para petani harus mengubah tanggapan bahawa untuk mendapatkan pendapatan yang tinggi memerlukan saiz tanah yang besar.

Sebaliknya ujar beliau, apa penting adalah kualiti serta kaedah penanaman yang baru berasaskan teknologi moden.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)!Sarawak Dato Idris Buang, Timbalan Menteri M-FICORD (Industri Makanan) merangkap Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri M-FICORD (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak M-FICORD Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap Kementerian M-FICORD Sirai Daha, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengurus Besar PPNS Gom Raway serta Ketua-ketua Persatuan Peladang Kawasan (PPK).-EDISI UKAS