KUCHING: Projek ‘Responsible ReSourceLution’ yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan, Timuran Kembangan Sdn Bhd antara yang menerima pengiktirafan berprestij, Anugerah JCI Malaysia Sustainable Development Award 2024.
Penyampaian anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Dato Hanifah Hajar Taib yang diadakan di Setia Alam, Selangor pada Isnin.
Dalam ucapannya, Dato Hanifah Hajar berkata bahawa pemain industri di Malaysia perlu memfokuskan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Kemampanan (SDG) 2030 dengan mengambil kira corak cuaca dunia berubah dengan drastik kebelakangan ini.
“Fenomena bencana alam menuntut keprihatinan semua pihak kerana ia sudah mula menjadi krisis bencana pada peringkat global.
“Satu demi satu bencana di seluruh dunia termasuk Malaysia perlu menjadi titik permulaan kepada pelbagai pihak untuk berganding bahu menangani krisis ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Projek Timuran Kembangan Dato Rahman Lariwoo berkata pengurusan sisa inovatif dan komprehensif ini mentransformasikan sisa kepada sumber bernilai melalui penggunaan secara bertanggungjawab.
Menurutnya, projek inovatif itu memfokuskan kepada pengedaran dan penggunaan Minyak Gas Ringan (LFO) dan minyak masak yang diguna semula.
“Projek ini bertujuan merevolusi amalan pengurusan sisa dengan mempromosi penggunaan lestari, mengurangkan impak alam sekitar dan memupuk ekonomi sekular.
“Timuran Kembangan telah muncul sebagai pengedar terbesar bahan bakar bersih di Sarawak yang mengamalkan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.
“Dengan mempromosi penggunaan LFO dalam industri dan sistem dandang komersial, Timuran Kembangan membantu pelanggan meningkatkan kebolehpercayaan dan prestasi peralatan mereka dengan mengurangkan impak alam sekitar.”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa bagi mengulas mengenai perkara itu.
Katanya, LFO yang mempunyai kecekapan tinggi namun rendah pelepasan karbon menjadikannya penyelesaian tenaga lestari terbaik berbanding minyak berat dan arang batu.
Konsep projek tersebut adalah dengan mengumpul minyak masak dari perniagaan makanan dan restoran untuk menangani sisa tersebut memasuki sistem pembentung dan memusnahkannya, ujarnya.
“Dengan menggunakan teknologi kitaran terkini, projek ini memastikan minyak tersebut dikumpul secara efektif, diproses dan digunakan semula sebagai produk bernilai seperti biodesel dan pelincir industri.
“Minyak masak terpakai itu akan ditukar kepada minyak bio, sumber tenaga diperbaharui yang boleh mengurangkan pelepasan karbon hingga 90 peratus berbanding minyak berasaskan petroleum.
“Melalui pendekatan holistik dalam pengurusan sisa ini, Timuran Kembangan sedang menerajui perubahan positif di rantau ini, menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari, bersih dan efisien,” ujar Dato Rahman lagi.
Pada masa sama, beliau menyeru kerjasama daripada Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak untuk menyokong usaha pihaknya bagi memastikan projek tersebut dapat terus dilaksanakan dengan efisien.
Selain itu, beliau turut mengajak masyarakat untuk menyokong usaha Timuran Kembangan mewujudkan alam sekitar yang bersih dan bebas dari pencemaran untuk manfaat generasi akan datang.
Selain Timuran Kembangan, penerima lain untuk anugerah berprestij tersebut adalah projek NASA Space Apps Sarawak 2023 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dan projek ‘iBuyBack’ yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Pengarah Urusan Timuran Kembangan Johnny Ting Su King hadir bagi menerima anugerah berkenaan. - EDISI UKAS