Sarawak Guna Rumput Hasilkan Tenaga Boleh Diperbaharui, Pertama Di Rantau Asia Tenggara

Disiarkan pada 25 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak sekali lagi bakal mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di rantau Asia Tenggara memperkenalkan kaedah penggunaan rumput untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penanaman rumput seluas 800 ekar di Bintulu menyaksikan rumput hibrid tropika ditukarkan kepada biojisim dan dijadikan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui yang boleh dituai dalam kitaran tiga bulan.

“Kalau dilihatkan, kita merupakan yang pertama di Asia Tenggara menghasilkan tenaga boleh diperbaharui menggunakan rumput. Ini bermakna kita di Sarawak boleh menanam rumput untuk dijadikan sebagai bahan untuk menghasilkan elektrik.

"Bukan sahaja untuk kerbau atau lembu yang secara tradisinya kita ketahui sebagai sumber untuk menghasilkan tenaga elektrik yang dapat menggantikan arang batu sebagai biojisim, tetapi saya ingin berkongsi bahawa Sarawak sudah menghasilkan sumber tersebut (menggunakan kaedah ini),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Joint International Conference 2024 – Jabatan Tanah Dan Survei di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Selasa.

Tambah Premier Sarawak, dengan adanya kaedah baharu ini, rakyat kini boleh memilih sama ada ingin menanam kelapa atau rumput bagi menjana pendapatan.

Jelasnya, rakyat yang mempunyai tanah yang sesuai boleh memilih komoditi yang mampu menjana pendapatan lumayan sekali gus dapat mengeluarkan mereka dari kelompok kemiskinan.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Dekan Fakulti Alam Bina dan Juruukuran Universiti Teknologi Malaysia Professor Doctor Kherun Nita Ali serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS