KUCHING: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA pada tahun 2027 di Sarawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dilihat sebagai idea bijak, mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara tiga negeri ini.
Konsep penganjuran itu memecah tradisi lama penganjuran yang hanya berpusat di Semenanjung Malaysia pada enam edisi sebelum ini iaitu pada tahun 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan terakhir 2017 di mana Malaysia muncul juara keseluruhan ketika itu.
Untuk rekod, kali terakhir Sukan SEA dianjurkan bersama negeri lain adalah pada tahun 2001 bersama Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Semasa penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Kuching pada 24 Ogos lepas, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 selepas Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersedia memberikan komitmen bersama dalam penganjuran kali ini.
Bagaimanapun, Sabah mahu mempertimbangkan semula cadangan untuk menjadi hos bersama temasya tersebut.
Pada majlis perasmian Para SUKMA Ke-21, 22 September lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan hanya Sarawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur akan bersama menganjurkan Sukan SEA 2027.
Idea asal bermula apabila Perdana Menteri mengusulkan cadangan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk membawa Sarawak sebagai penganjur bersama sukan itu dalam satu majlis di ibu negara sebelum ini.
Datuk Patinggi Abang Zohari tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan Sarawak sebagai penganjur bersama termasuk mengumumkan komitmen berjumlah RM350 juta bagi menanggung separuh dari kos penganjuran.
Perbincangan awal memutuskan sebanyak 36 sukan akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 dengan 18 daripadanya akan dilangsungkan di Sarawak termasuk majlis perasmian.
Separuh lagi sukan dibahagikan di antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang juga akan menjadi venue majlis penutupan.
Pemilihan Sarawak sebagai venue majlis pembukaan jelas pengiktirafan besar kerajaan pusat kepada negeri ini selepas kejayaannya menganjurkan temasya SUKMA Ke-21 dengan berprestij.
Gambar fail semasa Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ketua Kontinjen Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu (empat kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan (tiga kanan) menerima piala kejuaraan dan piala pusingan selepas Sarawak dinobatkan johan SUKMA XXI 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada 24 Ogos yang lalu. Turut hadir (dari kiri) Hannah Yeoh, Premier Sarawak, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Abdul Karim.
Pembangunan Sukan Holistik
Dari perspektif Sarawak, penganjuran Sukan SEA 2027 adalah peluang terbaik baginya merancakkan lagi pembangunan sukan secara holistik yang akan membawa impak positif kepada Sarawak dari sudut ekonomi.
Semasa majlis penyampaian insentif kepada pemenang pingat SUKMA Ke-21 baru-baru ini, Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan, demi pembangunan atlet negara khususnya atlet negeri ini, Sarawak tidak kisah berbelanja besar untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA.
“Kos untuk menganjurkan Sukan SEA ini agak tinggi, tetapi demi pembangunan anak muda lebih-lebih lagi anak muda Sarawak, saya sanggup untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA.
“Apabila ini berlaku, negara-negara yang datang tentu sekali akan tahu di mana Sarawak, status kita dan juga prestasi anak muda Sarawak kerana sukan ini adalah salah satu dari platform pembangunan kita,” menurut Premier Sarawak.
Sarawak telah menetapkan sasaran untuk menjadi kuasa sukan dalam negara pada tahun 2030 dan Sukan SEA dilihat sebagai batu loncatan terbaik untuknya mempercepatkan peralihan tersebut selain melalui penglibatan dalam SUKMA sejak 1986 lagi.
Selama bertahun, Sukan SEA telah menjadi platform pendedahan penting kepada Sarawak untuk melahirkan atlet-atlet yang menyinar di pentas antarabangsa.
Ia telah menjadi medan untuk mengukur kemampuan atlet-atlet tempatan sebelum diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Di sinilah Datu Pandelela Rinong Pamg, Bryan Nickson Lomas, Daniel Bego, Welson Sim, Watson Nyambek dan ramai lagi jaguh sukan dari Sarawak menempa nama sebelum pergi dengan lebih jauh lagi hingga ke Sukan Olimpik.
Mana boleh kita lupakan kejayaan Datu Pandelela memenangi pingat emas pada Sukan SEA pertama disertainya pada 2007 di Thailand di mana ketika itu beliau baharu berusia 14 tahun.
Pada usia 14 tahun juga, bekas atlet renang negara, Daniel Bego memenangi emas pertamanya pada penampilan sulung di temasya Sukan SEA 2003 Hanoi.
Malah temasya ini juga menjadi medan bagi atlet olahraga Jackie Wong, Grace Wong dan ramai lagi atlet Sarawak menuai pingat emas, membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan atlet dari negara ASEAN yang lain.
Justeru, penganjuran Sukan SEA di Sarawak adalah langkah yang sangat tepat, menepati visi kerajaan negeri untuk melahirkan atlet yang berdaya saing, berkaliber dan mampu mengharumkan nama negara.
Pandelela memperagakan pingat emas dimenanginya pada Sukan SEA Ke-29 di Kuala Lumpur pada 2017.
Fasiliti Sukan Bertaraf Dunia
Semasa sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di Sibu baru-baru ini, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan Sarawak akan memastikan semua fasiliti sukan dinaiktaraf sebagai persediaan untuk penganjuran Sukan SEA nanti.
Selain dinaiktaraf, Sarawak juga akan membina pusat velodrome baru di Petra Jaya bagi menganjurkan sukan berbasikal.
Sudah tentu ia menelan kos yang tinggi namun itulah harga yang perlu kerajaan Sarawak bayar sebelum pulangannya dinikmati di kemudian hari dari aspek pembangunan atlet dan pelancongan sukan.
SUKMA Ke-21 yang baharu melabuhkan tirai menyaksikan dominasi Sarawak dalam beberapa acara sukan seperti terjun, tenpin boling, taekwondo, muaythai dan petanque yang telah membantu Sarawak merampas semula kejuaraan selepas 30 tahun.
Selain program pembangunan secara intensif, kejayaan Sarawak kali ini juga hasil dari latihan yang diterima atlet menggunakan fasiliti bertaraf dunia yang ada di sini mahupun di luar negeri dan negara.
Pusat Akuatik Pandelela Rinong menjadi lubuk kelahiran ramai penerjun Sarawak yang menyambung legasi kecemerlangan Pandelela Rinong antaranya Bertrand Rhodict Lises yang membuat kemunculan sulung pada Sukan Olimpik Paris 2024, Enrique Maccartney Harold, Elvis Priestley Clement, Kimberly Bong dan ramai lagi.
Manakala pusat tenpin boling di Megalane Sarawak, Batu Kawa yang diiktiraf terbaik di rantau Asia telah melahirkan atlet remaja dunia, Nur Hazirah Ramli yang membantu negara julung kalinya memenangi Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Korea Selatan pada Julai lepas.
Malah sukan lain seperti kriket juga hampir melakar sejarah memenangi pingat emas pada SUKMA Ke-21 selepas Sarawak memiliki padang kriket sendiri.
Mungkin selepas ini, Sarawak akan memecah dominasi Terengganu atau negeri-negeri lain dalam acara berbasikal pada SUKMA akan datang jika atlet kita dapat berlatih di pusat velodrome sendiri nanti.
Tidak mustahil Sarawak akan melahirkan Diana Bong baru selepas mempunyai pusat wushu sendiri yang siap dibina dan digunakan semasa penganjuran SUKMA lepas.
Kerana inilah Sarawak tidak memandang belakang apabila ditawarkan sebagai penganjur bersama Sukan SEA kerana melihat manfaat besar bakal diperolehinya dalam jangka masa panjang khususnya dari aspek kecemerlangan atlet.
Pusat tenpin boling Megalane Sarawak Batu Kawa diiktiraf sebagai antara yang terbaik di rantau Asia telah melahirkan ramai pemain terkemuka termasuk juara dunia remaja, Nur Hazirah (dalam gambar).
Pacu Pelancongan Sukan
Kemudahan sukan bertaraf antarabangsa akan memberi kelebihan kepada Sarawak lebih-lebih lagi membantu dalam memacu sektor pelancongan sukan di negeri ini.
Setiap tahun, Sarawak menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan antarabangsa antaranya tenpin boling, tenis, muaythai, badminton, tinju, Spartan Race dan banyak lagi.
Jumlah itu pasti akan meningkat jika Sarawak mempunyai lebih banyak kemudahan sukan yang dibina atau dinaiktaraf untuk penganjuran Sukan SEA nanti.
Sarawak boleh memikirkan penganjuran kejohanan-kejohanan sukan bertaraf dunia yang lain selepas berakhirnya Sukan SEA nanti kerana negara luar yakin dengan keupayaan negeri ini sebagai tuan rumah.
Langkah ini juga penting bagi memastikan fasiliti-fasiliti sukan ini nanti khususnya yang baru dibina tidak menjadi Gajah Putih yang hanya mendatangkan kerugian kepada kerajaan negeri di kemudian hari serta merencatkan pembangunan atlet.
Berdasarkan statistik semasa, Sarawak mencatatkan ketibaan pelawat seramai 1,615,912 dari Januari hingga April 2024 yang merekodkan resit pelancongan kira-kira RM4.170 bilion.
Daripada jumlah ini, 997,451 adalah ketibaan antarabangsa termasuk mereka yang menyertai acara sukan manakala 618,461 lagi ketibaan domestik.
Jumlah ini akan terus meningkat saban tahun sekiranya Kerajaan Sarawak menganjurkan banyak lagi acara sukan bertaraf antarabangsa di negeri ini.
Atlet olahraga Sarawak, Jonah Chang Rigan antara yang berpotensi menyinar di Sukan SEA.
Bawa Limpahan Ekonomi
Penganjuran Sukan SEA akan membuka laluan kepada Sarawak mempercepatkan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, syarikat penerbangan milik Sarawak akan beroperasi pada 2027 bagi memudahkan perjalanan atlet dari negara luar di rantau ini ke negeri ini.
Selain itu katanya, Sarawak juga perlu mempercepatkan penyiapan Transit Aliran Autonomi (ART) menjelang 2027 untuk menyediakan sistem pengangkutan yang selesa kepada para atlet yang berulang alik dari venue ke venue lain.
“Saya percaya, pada 2027 sistem pengangkutan awam Sarawak khususnya Transit Aliran Autonomi (ART) akan beroperasi sepenuhnya, memudahkan pergerakan di sekitar bandar,” katanya.
Sukan SEA juga akan bakal membawa limpahan ekonomi kepada pemain industri perhotelan, penginapan dan pelbagai sektor berkaitan.
Sebagai perancangan awal, kerajaan Sarawak telah meluluskan pembinaan tiga lagi hotel bertaraf antarabangsa di sini yang akan dibangunkan oleh pihak swasta.
Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan, Dato Sri Abdul Karim berkata pembinaan tiga lagi hotel ini bagi menampung keperluan ketibaan lebih ramai pengunjung ke Sarawak khususnya semasa penganjuran Sukan SEA nanti.
Majlis pembukaan SUKMA XXI Sarawak 2024 akan terus diingati sebagai yang terbaik dalam sejarah penganjuran SUKMA setakat ini.
Letak Sarawak Di Peta Dunia
Sarawak telah membuktikan keupayaannya menganjurkan SUKMA Ke-21 dengan berjaya hingga ada yang membandingkan upacara pembukaannya setaraf dengan majlis perasmian Sukan Olimpik Paris.
Kesungguhan dan komitmen sebagai tuan rumah SUKMA 2024 testimoni utuh betapa Sarawak layak untuk dipilih sebagai hos bersama Sukan SEA nanti.
Sepertimana dijelaskan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari, penganjuran Sukan SEA bukan sekadar landasan untuk atlet negara meraih pendedahan bertanding di arena antarabangsa.
Malah lebih jauh dari itu, ia akan meletakkan nama Sarawak dalam peta sukan di rantau ASEAN, mengangkat status negeri ini sebagai penganjur acara sukan dunia yang berprestij.
Apa yang pasti, banyak persiapan perlu dilakukan oleh kerajaan Sarawak dan ia harus bermula dari sekarang jika mahu penganjuran sulung temasya itu di Bumi Kenyalang nanti terutama majlis pembukaan adalah yang paling gah dan paling ‘wow’ dalam sejarah penganjurannya. - EDISI UKAS