Projek Pembangunan Komersial Simunjan Lonjakkan Ekonomi Setempat

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN: Projek pembangunan komersial di kawasan Simunjan berupaya untuk melonjakkan ekonomi penduduk setempat khususnya golongan usahawan kecil.

Projek yang meliputi kerja-kerja pembinaan medan selera, kotej industri dan pasar tamu itu menelan perbelanjaan sebanyak RM16.3 juta yang mana dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2025.

Pelancaran projek ini dapat memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memilik premis perniagaan mereka sendiri pada masa akan datang.

Sehubungan itu, satu majlis penyerahan tapak projek berkenaan di antara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan kontraktor tempatan berlangsung di Simunjan pada Khamis.

Antara komponen projek tersebut adalah pembinaan lot setingkat medan selera, kotej industri dan pasar tamu yang meliputi 10 unit gerai makanan, 12 unit industri kotej, 31 gerai pasar basah, 24 gerai pasar kering, tandas awam dan kerja-kerja infrastruktur seperti jalan raya, saliran serta stesen elektrik.

Selain pembangunan komersial, LCDA juga akan melaksanakan projek pembangunan perumahan dan dewan serbaguna yang masih dalam peringkat akhir proses reka bentuk untuk kelulusan.

Hadir dalam program penyerahan tapak projek berkenaan ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pemangku Pengurus Besar LCDA Kusyairi Bostani, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd Rizal Zakaria dan wakil Pegawai Daerah Simunjan Mohd Raili Jawawi. -EDISI UKAS