KUCHING: Sarawak terus mempamerkan keunggulan dalam acara olahraga pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila dua atlet mereka, Jap Soon Hung dan Noor Kalsum Fadil, berjaya membawa pulang pingat emas dalam kategori masing-masing.
Dalam acara lontar peluru kategori lelaki F54, Jap Soon Hung mencatat jarak 8.22 meter, sekali gus memecahkan rekod peribadinya yang dicatat pada 2022 dengan jarak 8.18 meter.
Pesaingnya dari Sabah, Freddy Waldie, meraih perak manakala Muhamad Khairi Military Lorin menduduki tempat ketiga untuk gangsa.
Sementara itu, dalam kategori lontar peluru wanita F12/13, Noor Kalsum Fadil turut mencuri tumpuan apabila berjaya menewaskan pesaingnya dari Johor, Nur Arinah Azman, dengan catatan jarak 5.61 meter.
Lontaran Noor Kalsum hanya 0.01 meter lebih jauh daripada Nur Arinah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah mencatat 5.60 meter.
Rakan sepasukan Noor Kalsum, Siti Zubaidah, melengkapkan dominasi Sarawak di podium apabila menduduki tempat ketiga dengan catatan 5.57 meter.
Majlis penyampaian pingat telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua.-EDISI UKAS