Pembatalan Penerbangan Demi Keselamatan Penumpang

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
KHAMIS, 18 APRIL 2024


KUCHING: Beberapa penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa dibatalkan susulan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, keadaan tersebut menyebabkan kesesakan luar jangka berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) sekarang.

“Saya percaya ini hanya untuk sementara waktu sahaja, kerana mereka kena memastikan penerbangan ke destinasi yang dituju baik-baik sahaja kerana debu daripada letusan gunung berapi itu akan memberikan kesan kepada penglihatan juruterbang ketika berada di udara.

“Jadi demi keselamatan penumpang, pihak berkaitan perlu ambil langkah berjaga-jaga dan ianya berlaku di luar jangkaan kita semua,” katanya ketika ditemui media di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak Laut pada Khamis.

Difahamkan, Malaysia Airlines telah membatalkan 19 penerbangan manakala AirAsia membatalkan 16 penerbangan hari ini.-EDISI UKAS