Jambatan Bintulu-Jepak Dijangka Siap Februari 2025

Posted on 24 Sep 2024
Source of News: Ukas


BINTULU: Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak sepanjang 1.2 kilometer yang bakal menjadi jambatan ikonik di bandar Bintulu dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan siapnya jambatan itu nanti sudah pasti dapat memudahkan pergerakan orang awam dari arah pusat bandar ke Jepak seterusnya ke Lapangan Terbang Bintulu dan kawasan berdekatan yang lain.

Katanya, dengan siapnya jambatan ini nanti ianya sekaligus akan merealisasikan impian Kerajaan Sarawak khususnya rakyat di Bintulu yang sememangnya sudah lama menantikan pembinaan jambatan terpenting ini.

“Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya komited bagi melaksanakan apa sahaja projek pembangunan yang dapat memberi impak positif terhadap pembangunan di negeri ini sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak pada Ahad.
Dalam pada itu beliau turut menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada pihak kontraktor yang amat komited serta bertungkus-lumus bagi menyiapkan projek itu walaupun pada mulanya ianya tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Semasa lawatan itu, Datuk Amar Douglas Uggah telah mendengar penerangan daripada pihak kontraktor pembinaan bahawa proses pembinaan jambatan ini berjalan lancar serta mengikut tempoh pembinaan yang ditetapkan.

Hadir sama mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir. Ts. Gs. Br. Dr. Cassidy Morris serta Timbalan Pengarah JKR Sarawak (Infrastruktur) Ir. Wisil Lichok. -EDISI UKAS