BDDA Fokus Projek & Program Jana Pendapatan Rakyat

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) memperuntukkan dana sebanyak RM82 juta untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti dan projek yang bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat.

 
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM15.5 juta akan digunakan pada tahun ini.
 
Menurutnya, penduduk Bahagian Betong juga telah maklum BDDA mempunyai peruntukan pembangunan sebanyak RM1.5 bilion.
 
“Kita ada tujuh wakil rakyat di kawasan ini dan akan membuat yang terbaik.
 
"Tetapi pada masa yang sama kami juga mahu orang ramai memberikan kerjasama sepenuhnya," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban.
 
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jawatankuasa agromakanan dan wakil Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak, Pertubuhan Peladang dan agensi lain-lain di pejabatnya di sini, pada Khamis.
 
Hadir sama ADUN Krian Friday Belik, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, Setiausaha Politik Premier Sarawak Roseline Mapong, Residen Betong Richard Micheal Abunawas dan Pegawai Tugas Khas BDDA Abang Mohamad Abang Turkey.
 
Datuk Amar Douglas Uggah menambah, mesyuarat tersebut diadakan untuk berbincang bersama pemain industri dalam mengenal pasti program dan projek yang berpotensi serta memperhalusi proses pelaksanaan.
 
"Masa tidak menyebelahi kita. Kita mengejar masa. Jadi kita berharap dapat melaksanakan program dan projek seperti yang dijadualkan.
 
"Kami juga telah memutuskan untuk mengelakkan prosedur birokrasi yang melambatkan kerja" jelasnya.
 
Mengenai program dan projek di kawasan BDDA, Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan agensi itu memfokuskan dua bidang utama iaitu pertanian moden dan pelancongan. -EDISI UKAS