Sarawak Unik Dalam Semangat Keharmonian

Disiarkan pada 22 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



ENGKILILI: Sarawak mempunyai keunikan kesendirian dalam semangat keharmonian antara satu sama lain.

 

Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berkata, walaupun Engkilili dihuni oleh masyarakat yang berbilang kaum serta berbeza agama dan budaya namun masyarakat setempat dapat minum dan makan semeja. 

 

“Ini menunjukkan bahawa Sarawak ini mempunyai keunikan tersendiri dan dipandang tinggi serta dihormati oleh dunia sebab dapat mengamalkan sikap bertoleransi dan bertolak ansur sesama sendiri walaupun mempunyai agama dan budaya yang berbeza,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Tua Pek Gong Engkilili di sini pada Sabtu.

 

Katanya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana yang tinggi untuk penganut agama lain di negeri ini selain daripada agama Islam melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

 

Roy Angau menggesa ahli jawatankuasa Tua Pek Gong Engkilili dan pertubuhan agama lain agar memohon peruntukan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lubok Antu untuk melakukan sebarang aktiviti keagamaan.

 

Dalam majlis sama, beliau telah meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Tua Pek Gong Engkilili agar ahli jawatankuasa mampu menjalankan aktiviti tahunan.

 

Turut hadir ialah Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng dan Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau. -EDISI UKAS