Tingkatkan Penglibatan & Pengeluaran Lada Sarawak

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Kumpulan petani di negeri ini khususnya di kawasan Serian diseru untuk meningkatkan penglibatan dan pengeluaran lada Sarawak supaya terus kekal menjadi pengeluar lada utama di Malaysia. 

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, sejak beberapa tahun lalu, Sarawak mencatatkan penurunan dari sudut pengeluaran lada. 

Menurut beliau, penurunan jumlah pengeluaran ini berkemungkinan disebabkan petani lada mulai beralih kepada tanaman kelapa sawit memandangkan ianya merupakan tanaman yang dituai secara bulanan jika dibandingkan dengan lada yang hanya boleh dituai sekali setahun. 

“Tanaman lada dituai setahun sekali kalau kita bandingkan dengan kelapa sawit yang boleh mengeluarkan buah setiap bulan selepas tempoh empat hingga lima tahun,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) di sini pada Khamis. 

Untuk mengatasi masalah ini, Datuk Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup memberitahu bahawa pihak MPB perlu membuat satu kajian yang boleh memudahkan para petani untuk mengusahakan tanaman lada seperti kaedah baharu yang boleh menggantikan tiang belian serta penyelidikan kebun lada organik. 

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar pendedahan kepada tanaman lada dimulakan di peringkat sekolah menengah untuk menarik generasi muda berkecimpung dalam industri ini. 

“Saya akan membantu dan bertanya kepada guru-guru di sekolah sekitar Serian yang berminat dalam sektor pertanian dan bagaimana kita boleh memulakan program ini (penanaman lada) di peringkat sekolah menengah.  

“Saya merasakan ini merupakan satu pendekatan kepada bagaimana kita boleh menarik minat generasi muda dalam bidang pertanian,” jelas beliau lagi. 

Katanya, penglibatan generasi muda dalam komoditi tanaman lada adalah mustahak memandangkan purata umur pengusaha tanaman ini kebanyakannya melebihi 50 tahun dan tidak mampu lagi menguruskan kawasan tanaman sekiranya tanah mempunyai 200 hingga 300 batang pohon lada. 

Dalam majlis tersebut, MPB telah menyampaikan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada lima buah kampung iaitu Kampung Bunan Gega, Kampung Bunan Punok, Kampung Mongkos, Kampung Sangai Empani dan Kampung Sangai Mawang dengan jumlah RM349,600. 

Selain itu, Skim Tanaman Lada Matang (STLM) turut diberikan kepada tiga buah kampung iaitu Kampung Tong Nibong, Kampung Bunan Gega dan Kampung Bunan Punok dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM125,000. 

Hadir sama Ketua Pengarah MPB Vincent Sawat, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Thadeus Ling, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw, wakil Residen Bahagian Serian Mahyuddin Hafiz Mohamad, Pemanca Bidayuh Daerah Tebedu Kane Manong dan Penghulu Kawasan Bunan Shlilling Lingga. -EDISI UKAS