Ubah Gaya Hidup, Cegah Penyakit Tidak Berjangkit 

Disiarkan pada 22 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Masalah kesihatan seperti diabetes dan penyakit jantung semakin meluas dalam kalangan masyarakat, dengan pemakanan berlebihan sebagai salah satu punca utama.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, situasi ini mencerminkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan mengambil tindakan proaktif dalam mengubah gaya hidup serta pemilihan makanan ke arah yang lebih sihat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menggesa masyarakat agar bertanggungjawab terhadap kesihatan diri melalui perubahan kecil, seperti mengurangkan pengambilan gula dengan mengetengahkan slogan '1 teaspoon is enough, less is better, none is the best'.

"Perubahan kecil ini dapat memberikan impak besar terhadap kesihatan kita, kerana ramai dalam kalangan kita menghadapi isu 'over nutrition', yang menyumbang kepada penyakit jantung dan jenis kanser tertentu. Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti diabetes juga berkait rapat dengan masalah ini.

"Oleh itu, fokus kita perlu bukan hanya kepada membina lebih banyak hospital untuk merawat penyakit, tetapi juga kepada usaha memastikan semua orang mengamalkan gaya hidup sihat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kesihatan sempena Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Sarawak dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Serian 2024 di Pusat Persidangan Serian pada Sabtu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Serian Dato' Sri Richard Riot Jaem, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Kesihatan Bahagian Serian Dr Majorie Ensayan Junting dan Pegawai Daerah Serian Inting Nyami.

Dalam pada itu, Dr. Sim turut menyeru agar semua pihak menjalankan kajian menyeluruh mengenai amalan pemakanan tempatan dan mengurangkan penggunaan plastik di pejabat, sebagai langkah untuk meningkatkan kesihatan dan menjaga alam sekitar.

"Di pejabat, kami hanya menyediakan air kosong, tanpa kopi dan teh. Selain itu, kami juga tidak menggunakan cawan plastik lagi, bertujuan untuk mengurangkan penggunaan plastik.

"Tindakan seperti ini bukan kerana kami kedekut, tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial dan kesedaran alam sekitar.

"Walaupun langkah ini kecil, saya percaya ia tidak mencukupi jika hanya dilakukan seorang diri, oleh itu semua orang perlu terlibat kerana kesihatan bukan hanya tanggungjawab doktor, tetapi juga individu itu sendiri," tegas beliau.

Menyentuh mengenai karnival tersebut, jelas Dr. Sim, ia berfungsi sebagai platform untuk mendidik orang ramai tentang amalan hidup sihat, termasuk pemilihan makanan yang tepat dan pentingnya aktiviti fizikal.

Katanya, masyarakat berpeluang untuk berinteraksi dengan pakar kesihatan, mendapatkan nasihat tentang cara menjaga kesihatan dan menyedari kepentingan mencegah penyakit sebelum ia berlaku.

Bertemakan 'Ubah Minda, Cegah Penyakit Berkaitan Pemakanan', karnival anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak itu adalah selari dengan hala tuju Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras peningkatan prevalen obesiti dan NCD lain berkaitan pemakanan di Malaysia.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival itu berlangsung termasuk Pertandingan Snek Sihat, Demonstrasi Masakan, Senamrobik, Saringan Kesihatan, Saringan Mata, Ceramah Kesihatan, Derma Darah, Ujian Kecergasan, Jualan RAHMAH dan jualan produk lain, Pameran Agensi, Semakan Saman PDRM, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak dan Pameran Gigi.-Edisi UKAS