Pesta Air Sibujaya 2024 Tarik Lebih 20,000 Pengunjung

Disiarkan pada 22 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Lebih 20,000 pengunjung memeriahkan Pesta Air Sibujaya 2024 yang telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dato Sri Abdul Karim berkata pesta tersebut merupakan satu-satunya pesta air di Sarawak yang seumpama 'Songkran Water Festival' di Thailand yang amat menarik sekali dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

"Saya difahamkan ada yang datang daripada Bintulu dan sebagainya untuk bersama-sama dalam festival ini sedikit sebanyak memberi manfaat yang begitu besar sekali kerana mereka yang hadir itu adalah daripada golongan yang paling rendah, anak-anak kecil, ibu bapa sampai ke nenek datuk dia pun bersama-sama.

“That means masa cuti sekolah ataupun hujung minggu macam ini ia dapat memberi ruang untuk keluarga, family bonding.”

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Air Sibu Jaya 2024 pada Sabtu.

Tambahnya, dengan adanya pesta sedemikian, ia dapat mengeratkan institusi kekeluargaan di mana para ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka menikmati keceriaan bersama.

Pada masa yang sama para usahawan dan peniaga tempatan juga akan mendapat manfaat.

Beliau menambah ini adalah kali yang ketiga beliau hadir ke Pesta Air Sibujaya dan sambutan kali ini adalah yang terbaik menurutnya.

Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak Amcorp dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan menegaskan bahawa kementeriannya akan sentiasa menyokong program sedemikian agar terus dianjurkan dan menjadi program tahunan di Sibujaya. - EDISI UKAS