Adaptasi Teknologi, Galak Petani Terlibat Pertanian Pintar

Disiarkan pada 22 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS

KAPIT: Komuniti petani di luar bandar dan pedalaman digalak untuk terlibat dalam pertanian pintar yang menerapkan aspek teknologi digital.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata menerusi teknologi baharu itu ia dapat membantu dalam meningkatkan pendapatan dan ekonomi sara diri penduduk rumah panjang.

Selain itu, beliau turut menggesa proses pembangunan seperti jalan raya dan kemudahan asas dilakukan secara berterusan dan dipercepatkan supaya kawasan tersebut tidak dipinggirkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang berkata demikian ketika menghadiri Program Jiwa Komuniti MADANI dan Sesi Libat Urus Sarawak Energy bersama komuniti bagi Sumber Tenaga Melata (Cascading Power Source) di Rumah Gendang, Sungai Puro Gaat, Baleh Kapit pada Sabtu.

Dalam majlis tersebut menyalurkan peruntukan lebih RM100,000 kepada Rumah Gendang Sungai Puro Gaat, Baleh Kapit bagi melaksanakan projek penambahbaikan dan aktiviti komuniti.

Datuk Wilson Ugak Kumbong berharap pelan dan rancangan berjalan dengan lancar bagi kesejahteraan penduduk persekitaran kawasan tersebut.

Turut hadir Wakil Pegawai Daerah Bukit Mabong George Jandok, Pegawai Perhubungan Projek Kementerian Telekomunikasi Sarawak(MUT) Augustone Freedy Minggu, General Manager Sarawak Energy Berhad, Jiwari Abdullah, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, Pemancha Bunsu, Penghulu Anyi Kumbong, Penghulu Bawang dan Tuai-tuai rumah kawasan Gaat/Biro Wanita Rumah Gaat. -EDISI UKAS