Keutuhan Perpaduan Masyarakat Rumah Panjang Nanga Samu Wajar Dicontohi

Disiarkan pada 21 Sep 2024
Sumber Berita: Ukas


BETONG: Keutuhan perpaduan masyarakat di Rumah Panjang Nanga Samu yang tidak pernah berpecah wajar dicontohi rakyat di negeri ini meskipun rumah panjang yang didiami mereka mencapai usia 100 tahun.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, begitu juga dalam konteks Sarawak, ia boleh dikembangkan, penuh dengan keharmonian.

"Yang penting perpaduan dijaga, jangan kita berpecah.

"Masyarakat yang mendiami rumah panjang yang berusia 100 tahun ini tidak pernah berpecah, kalau rumah ini boleh, rumah Sarawak juga boleh sama seperti rumah ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Ke-100 Tahun Rumah Panjang Nanga Samu, Ulu Paku di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menerima cenderahati unik iaitu Labu Kendi Brunei Tembaga yang merupakan harta pusaka dan artifak berharga.

Turut berlangsung upacara memotong kek bersama penghuni tertua Rumah Panjang Nanga Samu iaitu Chundi Ngabong yang dilahirkan pada tahun 1922 dan kini berusia 102 tahun.

Terdahulu, Premier Sarawak menyantuni kira-kira 500 penghuni di kesemua 24 reruai pintu bilik rumah panjang tertua di bahagian Betong ini.

Mendiang mantan Sarjan Penghulu Luta Tangai merupakan pengasas utama rumah panjang yang sudah wujud sejak 13 Julai 1924 dengan membangunkan tiang asas pada pintu bilik nombor enam. -EDISI UKAS