Keharmonian Majlis Perayaan Perkukuh Perpaduan Kaum

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SIMANGGANG: Keharmonian dalam majlis perayaan mampu memperkukuhkan perpaduan kaum.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, majlis perayaan yang diadakan menyaksikan kehadiran begitu ramai tetamu dari pelbagai kaum, mencerminkan kehidupan harmoni dalam masyarakat majmuk. 

Menurut beliau, suasana perayaan tidak hanya disambut dengan gembira tetapi turut dimeriahkan dengan tradisi kunjung-mengunjung.

“Saya amat teruja melihat sambutan majlis dengan penglibatan orang ramai dalam memeriahkan suasana Hari Raya.

“Keunikan budaya dan adat resam kita yang diamalkan secara turun temurun ini perlu dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Gabungan lapan JKKK dan Jawatankuasa Kebajikan Islam KMKK N32 Simanggang di Dewan Serbaguna Kpg Muhibbah Sri Aman pada Rabu.
 
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Simanggang kepada 17 pertubuhan dan JK Pengelola Majlis dengan nilai keseluruhan berjumlah RM115,000 untuk mengadakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti masing-masing. -EDISI UKAS