BARAM: Program Wanita Dinamik @KPWKM yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membantu memperkasa golongan wanita dalam aspek ekonomi, keselamatan dan kesihatan.
Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata bahawa program ini memberi peluang kepada suri rumah dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan berdasarkan kemahiran mereka di samping mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.
Beliau menjelaskan bahawa Yayasan Kebajikan Negara akan menjalinkan kolaborasi bersama Rakan Strategik iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam memberikan pendedahan tentang perkhidmatan yang disediakan khusus kepada golongan wanita.
“Sesi kursus yang dijalankan banyak memberi pendedahan untuk membimbing dan berkongsi
kepada para peserta mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri (SKPS) kerana peserta Wanita Dinamik @KPWKM terdiri daripada kalangan suri rumah dan yang bekerja sendiri,” ujar beliau.
Katanya, KPWKM turut melancarkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) bagi meningkatkan kesedaran mengenai saringan awal kanser payu dara dan serviks, penyakit utama yang menyerang wanita di Malaysia.
Justeru itu, beliau menggesa orang ramai untuk memanfaatkan peluang ini bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan mengubah taraf kehidupan ke arah yang lebih baik. - EDISI UKAS