Para SUKMA Platform Ketengah Bakat Atlet OKU Ke Peringkat Antarabangsa

Disiarkan pada 21 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang bakal berlangsung di ibu negeri ini bakal menjadi platform penting bagi Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memperagakan bakat dan potensi mereka dalam arena sukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, temasya ini memberi peluang kepada atlet para untuk beraksi di peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

"Usaha memperkasakan anak-anak OKU tidak hanya melalui pendidikan tetapi juga menerusi sukan, di mana bakat mereka diberi peluang untuk dikembangkan sehingga mencapai tahap tertinggi.

"Mereka yang berbakat berpeluang mewakili negeri dan negara di pentas antarabangsa termasuk Olimpik," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perkampungan Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia pada Jumaat.

Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Para SUKMA kali ini menegaskan bahawa sukan adalah medium penting untuk memastikan tiada golongan OKU yang tersisih daripada masyarakat.

Menurutnya, prinsip keterangkuman sosial sangat penting dan sukan bagi OKU adalah manifestasi sebenar prinsip tersebut.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan cenderamata kepada Ketua Kontinjen (CDM) dari setiap negeri yang terlibat.

Seramai 1,275 atlet akan bersaing merebut pingat dalam 10 jenis sukan yang dipertandingkan bermula 22 hingga 28 September 2024.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Jawatankuasa Induk Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Chef de Mission (CDM) Sarawak Datuk Muhammad Razi Sitam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA Sarawak XXI 2024 Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap KPWK merangkap Setiausaha Jawatankuasa Induk Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Tetap MUDeNR selaku Pengerusi Jawatankuasa Perkampungan Sukan & Penginapan Pegawai dan Atlet Para SUKMA 2024 Hairani Mohammad Ismail serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS