Kerajaan Sarawak Bawa Pembangunan Ke Kanowit

Disiarkan pada 20 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS



KANOWIT: Kerajaan Sarawak memastikan pembangunan dibawa ke kawasan luar bandar seperti Kanowit.

 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian memberitahu, pembangunan Tebingan Kanowit di sini merupakan antara projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membawa kemajuan.

 

Menurutnya, tebingan tersebut merupakan yang pertama di wilayah ini menggunakan reka bentuk dua tingkat yang menjadi mercu tanda untuk Kanowit.

 

“Tebingan ini memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk berkumpul dan beriadah bersama keluarga, selain untuk penganjuran pelbagai aktiviti lain dan inilah yang kita panggil perpaduan.

 

“Ini mencerminkan keterangkuman Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar, rakyat mempunyai kemudahan yang sama, walaupun reka bentuknya berbeza."

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kanowit Waterfront dan Pesta Kanowit 2024 di Tebingan Kanowit pada Jumaat.

 

Sementara itu, Datuk Amar Prof Dr Sim menggesa para ibu bapa agar menggalakkan anak-anak dan golongan belia untuk meneroka industri ekonomi hijau yang berkembang pesat di Sarawak.

 

“Ini adalah masa untuk pembinaan negara. Jika anda berada di luar negara, sekarang adalah masa untuk pulang dan menyumbang kepada Sarawak.

 

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kita juga sedang melabur dalam pendidikan percuma untuk memastikan anak-anak Sarawak berpengetahuan dalam bidang ini,” ujarnya pada sidang media pada majlis perasmian berkenaan.

 

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit Dato Sri Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Dato Che Roslan Che Daud, Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan Pegawai Daerah Kanowit Jackline August. -EDISI UKAS