Yayasan Jantung Sarawak Sambut Hari Jantung Sedunia

Disiarkan pada 20 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


 KUCHING: Yayasan Jantung Sarawak akan meraikan Hari Jantung Sedunia di Taman Perpaduan (Reservoir Park Kuching) pada 29 September ini yang bertemakan 'Gunakan Hati Untuk Bertindak'.
 
Sambutan Hari Jantung Sedunia akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian.
 
Ia bertujuan untuk memberikan tumpuan kepada setiap negara supaya mempunyai pelan terhadap penyakit kardiovaskular.
 
Datuk Amar Prof. Dr Sim berkata, penyakit jantung merupakan penyakit yang mencatatkan kes teratas di mana ramai kalangan masyarakat yang menghidap penyakit jantung di Malaysia.
 
“Pada setiap tahun, mengikut statistik Pusat Jantung tahun lepas, pihak mereka hampir melakukan 6,500 kes,” tambah beliau.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media Hari Jantung Sedunia 2024 di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
 
Program itu dianjurkan bagi mendidik orang ramai tentang penyakit dan pengesanan awal supaya masyarakat lebih menjaga kesihatan jantung mereka.
 
Sementara itu, Datuk Amar Prof. Dr Sim mengalu-alukan masyarakat di sekitar Kuching untuk datang bagi memeriahkan lagi program tersebut dan mendapatkan lebih banyak ilmu pengetahuan tentang penyakit jantung.
 
Jelas beliau, ilmu berkaitan dengan penyakit jantung merupakan sesuatu ilmu yang harus diketahui kerana ia bukan sahaja boleh dihidapi oleh golongan yang berumur 60 tahun ke atas, malah golongan belia juga berkemungkinan akan menghidapinya.
 
Yuran pendaftaran bagi Sambutan Hari Jantung Sedunia 2024 bernilai RM30 bagi ‘Walk A Mile’ dan disertakan dengan baju-T Yayasan Jantung Sarawak, topi tajaan SOP Foods Sdn Bhd, sarapan pagi dan tiket cabutan bertuah.
 
Selain itu, Pusat Jantung Sarawak juga menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang merangkumi indeks jisim badan, glukosa darah, tekanan darah, kolesterol dan konsultasi kesihatan dengan doktor.
 
Ia juga akan menjalankan Ujian Kecergasan sekali gus dengan melakukan senamrobik.
 
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak Dato Anne Teng dan Pauline Kon Suk Khim. – EDISI UKAS