Kesejahteraan & Keselamatan Kanak-kanak Tanggungjawab Pihak Kerajaan 

Disiarkan pada 20 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS
 
BINTULU: Kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak dalam pergaulan merupakan tanggungjawab yang perlu diutamakan oleh pihak kerajaan.

Terkait dengan isu 'abang bas' yang tular di media sosial baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri menegaskan bahawa tindakan membuat laporan kepada pihak polis adalah satu usaha dalam menjaga kebajikan kanak-kanak. 

“Kami melaksanakan amanah untuk menjaga kebajikan kanak-kanak mengikut Akta Kanak-kanak. 

“Sekiranya individu yang terlibat ingin membuat tindakan undang-undang ke atas kami, itu adalah hak individu berkenaan,” ujar beliau. 

Sementara itu, menyentuh isu Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH), beliau menegaskan bahawa kementeriannya tidak memiliki kuasa untuk membuat penangkapan atau siasatan, sebaliknya mereka hanyalah sebagai pelindung dan penjaga kanak-kanak di bawah Akta Kanak-kanak. 

“Kami hanya bekerjasama dengan pihak polis yang memohon bantuan daripada kami.

“Proses siasatan sepenuhnya adalah tanggungjawab pihak berkuasa dan kami tidak mahu mengganggu perjalanan siasatan itu."

Justeru itu, beliau menyeru masyarakat agar memahami batasan kuasa kementeriannya dan menghormati proses siasatan yang dijalankan oleh pihak polis. - EDISI UKAS