SEBUYAU: Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sebuyau 2024 melabuhkan tirainya pada Khamis dengan majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi di Masjid Al-Muflihin, di sini pada Khamis.
Semasa berucap, Dato Sri Julaihi menegaskan bahawa mempelajari ilmu dari Al-Quran dan memahami prinsip-prinsip ekonomi adalah penting untuk meningkatkan pendapatan Sarawak menjelang 2030.
Dengan menggabungkan kedua-dua elemen ini katanya, Sarawak dapat membangunkan sumber manusia yang kompeten dan berdaya saing, seterusnya memperkukuh asas ekonomi untuk mencapai kejayaan yang lebih mampan di masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau memuji usaha Pejabat Daerah Sebuyau dalam menganjurkan pertandingan seumpamanya ke arah melahirkan generasi qari dan qariah yang berkelayakan di daerah tersebut.
Menurutnya lagi, Sarawak secara tidak langsung berpotensi mencetak lebih ramai individu yang bukan sahaja fasih membaca Al-Quran, malah mampu menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.
Justeru, beliau berharap agar pertandingan tersebut dapat diteruskan dan diperluas untuk memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat di kawasannya.
Dalam pertandingan itu, Johan bagi kategori qari telah dinobatkan kepada Ariq Mustaqim Wan Bujang dari Kampung Seberang, manakala kategori qariah dimenangi oleh Sharifah Fatimah Wan Sait dari Kampung Jalan Sawmill.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800 dan piala.
Sementara itu, Wan Jamaludin Wan Sait dari Kampung Jalan Sawmil tampil sebagai naib johan kategori qari, diikuti Nazimah Kahrfez dari Kampung Sungai Ladong bagi kategori qariah dengan hadiah wang tunai RM500 serta piala.
Tempat ketiga qari dan qariah pula disandang oleh Wan Roslan Wan Sait dan Jamayah Ramli masing-masing dari Kampung Jalan Sawmil dengan hadiah wang tunai RM300 dan piala.
Saguhati turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100.
Hadir sama ialah wakil Pegawai Daerah Sebuyau Melor Buyong, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan Ustaz Bahrin Kawi, Pemanca Melayu Kawasan Sebuyau Asli Yahya, Penghulu-Penghulu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ketua-ketua Jabatan yang terlibat. -Edisi UKAS