KUCHING: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tampil berani dengan memperkenalkan 70 peratus atlet baharu untuk menggemparkan temasya sukan Para SUKMA XXI 2024 di Sarawak.
Kontinjen yang diketuai oleh Sabran Abd Bahar ini dilihat serius dalam usaha mereka untuk menawan podium, dengan sasaran besar 40 pingat keseluruhan termasuk 10 emas, 15 perak, dan 15 gangsa.
Sabran mendedahkan, program pencarian bakat Inspire i-Talent yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Kuala Lumpur, berjaya membawa nafas baharu kepada pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menggali bakat luar biasa dari ibu kota.
“Program i-Talent ini telah membantu kami untuk mengenalpasti bakat-bakat baru yang kami bawakan ke Sarawak.
"Hampir 70 peratus daripada keseluruhan atlet kami iaitu seramai 61 orang, 70 peratus daripada mereka ialah atlet-atlet baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebaik tiba bersama atlet-atlet di bawah seliaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Jumaat.
Dengan kepercayaan tinggi terhadap kemampuan para atlet ini, Sabran menegaskan bahawa tiga acara utama iaitu renang, olahraga, dan lawn bowl dijangka menjadi lubuk emas buat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kalau ikut perbincangan kami dengan jurulatih dan persatuan-persatuan sukan itu ada tiga yang kami yakin iaitu dalam renang, olahraga dan lawn bowl,” tambahnya lagi.-EDISI UKAS