KUCHING: Barisan atlet Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah bersedia untuk memberikan persembahan yang luar biasa di Para SUKMA XXI 2024, dengan harapan besar mengangkat nama negeri masing-masing ke puncak kejayaan.
Wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang hadir menyambut ketibaan kontinjen atlet Para SUKMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Jumaat mengambil peluang menemubual beberapa atlet yang tiba, mengupas persiapan dan harapan mereka menjelang temasya sukan yang dinantikan.
Atlet baharu dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhd Asyraaf, yang menyertai acara Boccia buat pertama kali mengimpikan untuk membawa pulang pingat selepas menonton sukan tersebut pada temasya Paralimpik Tokyo yang lalu.
“Saya harap dapat bermula dengan sasaran gangsa. Kalau emas, itu dianggap satu bonus besar. Sukan ini sesuai dengan keupayaan saya, dan saya yakin mampu memberi yang terbaik,” katanya.
Dari negeri di bawah bayu, atlet ping pong kategori TT9, Brady Chin, tampil penuh semangat, berjanji akan berikan segalanya demi mengekalkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada edisi sebelum ini.
“Saya akan 'all out' kali ini dan harap dapat kekalkan momentum serta prestasi seperti dua tahun lalu. Saya mahu buat yang terbaik kali ini,” kata Brady.
Atlet tenpin boling kategori TPB1 dari Sabah, Azuan Amir Hassan turut tidak ketinggalan meletakkan harapan tinggi dengan sasaran merangkul tiga pingat emas.
Menurutnya, cabaran utama bakal datang daripada negeri-negeri seperti Johor, Pulau Pinang dan Pahang namun beliau yakin akan dapat mengatasi saingan sengit itu.
“Kalau ikutkan semua negeri mencabar cuma yang terdekat seperti Johor, Pulau Pinang dan juga Pahang.
“Sasaran tahun ini nak cuba untuk mendapatkan tiga pingat emas untuk keseluruhan dari tenpin boling,” ujarnya.-EDISI UKAS