Pastikan Pembangunan Tidak Terhenti, Jaga Keselesaan & Kesejahteraan Rakyat

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SIMANGGANG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited memastikan pembangunan tidak terhenti serta untuk menjaga keselesaan dan kesejahteraan rakyat yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepada pihak kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, ia adalah proses berterusan demi kepentingan masyarakat setempat.

Menurut beliau, sesi lawatan susulan bersama agensi pelaksana bertujuan memastikan semua projek yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual dan secara cepat memberi manfaat kepada rakyat setempat.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan susulan ke tapak projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman di sini pada Selasa. 

Lawatan Datuk Francis serta rombongan dimulakan dengan lawatan Projek Bina Baharu Jambatan Konkrit Menyeberangi Sungai Undop, Kpg Beleti, Sabu, Sri Aman. 

Tinjauan di tapak projek mendapati belum ada perubahan yang signifikan namun diberitahu oleh wakil kontraktor bahawa persiapan peralatan sedang dalam proses.

Seterusnya lokasi lawatan adalah projek Jalan Akses ke tiga buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rh Sanggau, Sungai Reboh yang sedang dalam pembinaan dan projek Jambatan Gantung yang telah siap dibina menyeberangi Sungai Undop di kampung tersebut.

Kemudian lawatan diteruskan terhadap projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap dibina iaitu Jambatan Gantung menyeberangi Sungai Undop dan Jalan Akses di Rh Mary Tuba, Kampung Munggu Demam, Undop, Sri Aman.

Selepas itu, rombongan meneruskan lawatan ke Rh Siliver Garit, Kpg Kenyungan, Undop, Sri Aman untuk melihat sendiri perkembangan projek pembinaan Jalan Akses dan Parit di rumah panjang tersebut dan meninjau kerja-kerja memasang wayar dalaman (internal wiring) yang sedang dilaksanakan.

Manakala, lokasi terakhir lawatan tapak adalah Projek siap bina ‘awning’ di Rh Wan Rantai, Kpg Guntong Ulu dan cadangan membina akses dari jalan raya ke rumah panjang.

Difahamkan proses cabutan undi untuk tawaran kontrak akan dilaksanakan tidak lama lagi. -EDISI UKAS