Kerjasama Pemimpin Dengan Rakyat Mudahkan Perancangan Pembangunan

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: ukas



SARIKEI: Kerjasama pemimpin dengan rakyat akan memudahkan perancangan pembangunan dilaksanakan di setiap kawasan.
 
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, pemimpin harus akrab dan berhubung dengan rakyat tidak mengira mereka adalah wakil rakyat atau pemimpin di peringkat kampung seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
 
"Apa yang dapat dilihat adalah kerjasama dan perpaduan yang terjalin antara komuniti setempat dalam menjayakan sesuatu majlis membuktikan hubungan yang kukuh antara rakyat dan pemimpin.
 
"Perpaduan yang utuh ini sesuatu yang perlu kita pertahankan dan oleh yang demikian kita harus menggunakan setiap peluang yang ada bagi memperkukuhkan semangat perpaduan melalui pelbagai aktiviti membabitkan semua kaum," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian dalam Majlis Riang Ria Aidilfitri Bersama Pemimpin di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Selasa.
 
Pada masa yang sama Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab turut senada dengan apa yang dikatakan oleh Datuk Len dan berharap agar perpaduan serta keharmonian dikecapi melalui perayaan.
 
Keriangan Aidilfitri diteruskan di Kampung Sarikei yang merupakan destinasi terakhir dalam siri Jelajah Riang Ria Aidilfitri yang bermula 13 April lalu.
 
Majlis turut dihadiri lebih dari 800 warga Kampung Sarikei dalam suasana ceria, meriah dan harmoni.
 
Hadir sama pada majlis ialah Ketua-ketua Jabatan, KMKK serta warga Kampung Sarikei. -EDISI UKAS