Sarawak Miliki Potensi Jadi Rakan Kongsi Perniagaan Turki

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak dilihat memiliki potensi besar untuk menjadi rakan kongsi dalam industri perniagaan di Turki.
 
Duta Besar Republik Turki Ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata, beliau amat berminat dan memberi perhatian tinggi terhadap pembangunan di negeri ini.
 
“Jadi hari ini saya mendapat penghormatan untuk bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan kami membincangkan banyak perkara-perkara yang berbeza.
 
“Hari ini dan esok saya akan berkunjung ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan juga bersama beberapa organisasi perniagaan di Sarawak.
 
“Apa yang saya cuba lakukan ialah kami cuba menjalinkan beberapa hubungan antara ahli perniagaan di Sarawak dan sudah tentu dalam kalangan delegasi kita yang datang dari Turki," katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak di sini pada Khamis.
 
Emir menambah, kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan perkembangan semasa berkaitan perdagangan, hal ehwal ekonomi serta hubungan antara ahli perniagaan Turki dan Sarawak.
 
Tambahnya, beliau berpendapat semua negara sedang mencari peluang perniagaan di mana-mana di negara yang berbeza selepas pandemik COVID-19. -EDISI UKAS