Pelabuhan Miri Pintu Masuk Pembangunan Ekonomi Sarawak

Disiarkan pada 19 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Pelabuhan Miri dianggap sebagai komponen penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak, berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menyediakan kemudahan perdagangan dan perkhidmatan logistik yang diperlukan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Pelabuhan Miri telah memainkan peranan besar dalam pertumbuhan bandar Miri, mengubahnya daripada sebuah pekan sederhana kepada sebuah bandar pada tahun 2005.

Beliau menegaskan bahawa lebih daripada 80 peratus perdagangan global dijalankan melalui laluan laut, menjadikan pelabuhan sebagai elemen penting dalam menghubungkan wilayah dan benua.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan telah mengemukakan beberapa cadangan untuk Pelabuhan Miri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13.

Antara cadangan utama ialah penubuhan Zon Bebas dan pembangunan pelabuhan laut dalam di Kuala Baram yang dijangka siap pada tahun 2030.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi, yang mewakilinya pada Majlis Makan Malam Kesyukuran bersempena Majlis Pecah Tanah Projek Pengorekan di Delta Batang Baram, Miri pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga terhadap pembangunan Pelabuhan Miri sejak penubuhannya pada tahun 1981.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr. Penguang Manggil. – EDISI UKAS