ADUN Murum Rasmi Majlis Mendirikan ‘Kayok Tukar Do’

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SUNGAI ASAP: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon meluangkan masa merasmikan Majlis Mendirikan ‘Kayok Tukar Do’ atau bermaksud ‘Jam Zaman Purba’ di Uma Bawang BRS Asap pada Selasa.
 
Perasmian dimulakan selepas Pastor mendoakan dan memberkati majlis di mana upacara menanam tiang tersebut dijalankan dengan lancar sekali diiringi nyanyian lagu harmoni daripada beberapa orang wanita warga gereja dan masyarakat di Uma Bawang.
 
Menurut sejarah, ‘Kayok Tukar Do’ adalah sejenis peralatan yang digunakan untuk membolehkan bayangan matahari terhasil dan diukur.
 
Pada zaman dahulu, masyarakat lama bergantung kepada bayangan matahari dan juga melihat anak-anak bulan apabila mereka mahu berucuk tanam untuk menentukan hari atau masa yang sesuai untuk bertanam dengan kepercayaan mendapatkan hasil tuaian yang baik.
 
‘Kayok Tukar Do’ terdiri daripada tiang kayu belian bulat tinggi di mana tajam hujungnya untuk ditanan dalam tanah dan puncak tuang dibuat lubang dan digantung dua atau empat Batu Duga (batu rumah bertali).
 
Ia mempunyai Alat Pengukur Bayangan kebiasaannya menggunakan ‘Biroi’ yang dibelah dua. - EDISI UKAS