KUCHING: Warga media merupakan tulang belakang dalam menyiarkan laporan sukan yang dipertandingkan sepanjang temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024 kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau sendiri terpegun dengan komitmen tuan rumah iaitu Sarawak yang telah menyediakan perkhidmatan seperti media penyiaran untuk Para SUKMA XXI 2024.
“Bagi kami dalam jawatankuasa induk untuk Para SUKMA dan juga SUKMA yang telah berlalu, ini merupakan jawatankuasa yang sangat penting dalam memastikan apa yang berlaku, sama ada di tempat pertandingan, di tempat penginapan ataupun di mana-mana tempat boleh diketahui dan dikongsikan kepada orang ramai.
“Dan yang bagusnya juga adalah melalui media penyiaran, bukan sahaja orang Sarawak yang dapat mengikuti acara-acara sukan yang dilaksanakan semasa Para SUKMA, malah luar Sarawak juga akan dapat mengetahui tentang tenaga Para SUKMA, pertandingan yang diadakan dan bagaimana sebenarnya pertandingan itu berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pusat Media Utama (PMU) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada Rabu.
Dato Sri Fatimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Para SUKMA Ke-21 menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa media kerana memastikan kelancaran temasya Para SUKMA.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menyeru kepada warga media untuk mengambil kesempatan ini untuk mengolah cerita yang berkisarkan kepada ‘human interest’ perjalanan atlet Para SUKMA.
Jelas beliau, pengolahan berita seumpama ini dapat melihat pengorbanan para atlet dan ahli keluarga mereka yang telah berkorban dari segi masa dan tenaga malah wang ringgit sebelum bergelar seorang atlet yang mewakili negeri masing-masing.
Seperti temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 yang lalu, Para SUKMA kali ini turut menawarkan pertandingan kepada warga media di mana terdapat tiga kategori utama yang akan dipertandingkan iaitu kategori fotografi terbuka, kategori fotografi belia yang berumur 25 tahun ke bawah dan kategori videografi.
Bagi kategori fotografi terbuka, hadiah yang ditawarkan adalah sebanyak RM3,000 bagi tempat pertama dan RM2,000 dan RM1,000 bagi tempat kedua dan ketiga manakala lima pemenang saguhati akan menerima RM200 setiap seorang.
Bagi kategori fotografi belia dan kategori videografi masing-masing menawarkan hadiah sebanyak RM2,000 bagi johan, RM1,000 bagi naib johan dan RM750 bagi tempat ketiga di samping hadiah wang tunai RM100 kepada lima pemenang saguhati.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ‘Chef de Mission’ (CDM) Para SUKMA XXI Sarawak 2024 Datuk Mohammad Razi Sitam, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah UKAS Samuel Simon dan tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS