DUBS Marudi Hasrat Tingkatkan Ekonomi Penduduk Setempat

Disiarkan pada 18 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



MARUDI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Marudi berhasrat untuk mempertingkatkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan Marudi.

 

Presiden DUBS Datu Abang Helmi Ikhwan berkata, aktiviti pertanian seperti sawit, getah, tanaman lada dan lain lagi mampu menjadi tumpuan selain kepada perniagaan.

 

“Bagi melaksanakan aktiviti ini, dua jentera iaitu mesin jengkaut tanah berantai dan mesin jengkaut beroda telah diberi oleh Kerajaan Sarawak melalui DUBS agar dapat merancakkan aktiviti pertanian di Marudi.

 

“Jentera tersebut akan digunakan oleh semua ahli DUBS yang berdaftar dengan kadar sewa yang jauh lebih rendah daripada kadar biasa,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2024 DUBS Cawangan Marudi di sini pada Rabu.

 

Datu Abang Helmi menambah, DUBS menggalakkan golongan belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang perniagaan untuk meningkatkan ekonomi.

 

Dalam majlis sama, seramai 10 penerima terdiri daripada golongan ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah menerima sumbangan daripada DUBS Cawangan Marudi bagi meringankan beban.

 

Turut hadir ialah Pengerusi DUBS Cawangan Marudi Mujan Lah, Pemangku Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang dan Naib Presiden DUBS Roselyn Long Lah. -EDISI UKAS