KOTA KINABALU: Beberapa isu dan cabaran berkaitan penstabilan harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga yang diadakan di sini, pada Selasa.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Premier Sarawak, antara strategi utama yang dibincangkan adalah langkah-langkah untuk mengurangkan kos logistik barangan import dan perbincangan mengenai keperluan untuk membangunkan industri pengeluaran makanan dan bahan binaan bagi memenuhi permintaan domestik serta pasaran eksport.
Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Sabah, serta Labuan turut dibincangkan, dengan penekanan kepada inisiatif pengeluaran makanan ternakan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.
Oleh itu, Jawatankuasa juga bersetuju mengenai keperluan penglibatan sektor swasta dan masyarakat untuk memastikan pelaksanaan program ini secara mampan demi kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, kajian terperinci mengenai strategi penstabilan harga barangan di Sarawak, Sabah, dan Labuan yang sedang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah dijangka selesai pada penghujung tahun ini dan bakal dibentangkan untuk pertimbangan Jawatankuasa.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib. -EDISI UKAS
#UKASnews
#SaluranInformasiRakyat
#SarawakMajuMakmur