BETONG: Generasi muda perlu memanfaatkan teknologi sains dan digital agar dapat menjadi penggerak kepada pelbagai sektor ekonomi baharu yang sedang diterokai Sarawak seperti ekonomi hidrogen.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kemahiran dan pengetahuan belia masa kini adalah sangat berharga dan perlu diasah supaya mereka mampu menjadi pelapis yang berkembang maju.
Katanya, kerajaan Sarawak akan menyediakan peluang pendidikan percuma terutamanya di beberapa institusi milik negeri.
“Sekiranya kita ingin melihat masa depan sesebuah bangsa dan negara, lihatlah kepada para belianya,” katanya semasa Majlis Penutupan Program ‘Youth Unplugged (YoU) 1.0 2024’ di Dewan Wawasan Anak Mansang, SK Nanga Ajau, Betong baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar menambah, Program Youth Unplugged merupakan salah satu inisiatif dalam menyokong usaha mendidik anak-anak di mana program ini menjadi platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.
Selain itu katanya, program ini turut memberi fokus kepada kemahiran kerja berpasukan, kemahiran pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan serta kemahiran etika moral dan profesional.–EDISI UKAS