Sarawak Kembali Sertai IMEX Frankfurt Pada 14-16 Mei Depan

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Sarawak akan kembali mengambil bahagian dalam pameran perdagangan IMEX Frankfurt pada 14 hingga 16 Mei depan di Frankfurt, Jerman. 

 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, Sarawak Pavilion akan bertemakan 'Acara Perniagaan Menyokong Pembangunan Komuniti' bagi meraikan keutamaan industri dalam menerajui perubahan sosial dan ekonomi melalui acara perniagaan.

 

“IMEX Frankfurt merupakan pameran perdagangan terbaik untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan dan menjadikan negeri kita dikenali oleh dunia. 

 

“Pameran itu mempunyai khalayak yang tepat bagi perancang acara perniagaan yang mengutamakan penyelesaian untuk isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

 

“Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 boleh menyumbang kepada misi menyelesaikan isu alam sekitar yang mencabar dan PCDS 2030 akan menjadi satu perkara penting,” jelasnya. 

 

Beliau berkata demikian pada sidang media IMEX Frankfurt di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Rabu.

 

Dalam perkembangan lain, Dato Sri Abdul Karim menggesa lapangan terbang di Sarawak untuk dinaiktaraf khususnya lapangan terbang yang menerima pengunjung daripada luar negara. 

 

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kemudahan di pusat tarikan pelancong seperti Taman Negara Bako dan Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Semenggoh dinaiktaraf selepas Sarawak menerima pengiktirafan Tapak Warisan Semulajadi UNESCO pada Julai nanti. 

 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap MTCP Datu Sherrina Hussaini, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak Amelia Roziman dan dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS