Dato' Sri Huang Santuni Warga Emas, Pelajar Cemerlang

Disiarkan pada 17 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato' Sri Huang Tiong Sii terus menyantuni masyarakat di kawasannya dengan menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas serta Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang di Dewan Sentral Sarikei pada Sabtu.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan penghargaan kepada para warga emas dari keluarga Pan Chen Lau yang telah banyak berjasa kepada persatuan.

Beliau juga menekankan bahawa kebijaksanaan dan pengorbanan generasi terdahulu menjadi asas kepada kejayaan Persatuan Klan Pan Chen Lau’s Sarikei hingga ke hari ini.

“Majlis Penghargaan Warga Emas ini merupakan simbol penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan yang lebih tua, dengan lebih 200 warga emas menerima penghargaan pada malam ini. Tradisi menghargai dan menjaga kebajikan warga emas ini perlu diteruskan,” kata beliau.

Selain itu, seramai 18 pelajar daripada keluarga Pan Chen Lau yang cemerlang dalam bidang akademik turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

Dato' Sri Huang berharap anugerah ini dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan daerah Sarikei yang merupakan kampung halaman beliau, terus menjadi tumpuan dalam agenda pembangunan.

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Klan Pan Chen Lau serta seluruh penduduk Sarikei atas sokongan padu yang telah diberikan sepanjang lapan tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Kita telah bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran, dan dengan kerjasama semua pihak, pembangunan di Sarikei dan Meradong semakin pesat.

“Projek pembangunan infrastruktur, termasuk pembinaan jalan raya yang menghubungkan Sarikei dengan Tanjung Manis yang dijangka siap pada Mac tahun depan,” tambahnya lagi.

Hadir sama Pengerusi Pengelola Kapitan Lau Ing Liong, Presiden Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei, Temenggong Lau Hieng Ming, Pengerusi Persatuan Klan Pan Chen Lau Sarikei, Lau Hui Kion serta tetamu lain.-EDISI UKAS