Dato' Sri Huang Hadiri Majlis Sambutan Kuih Bulan dan Penghargaan Warga Emas

Disiarkan pada 17 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato' Sri Huang Tiong Sii sempat meluangkan masa menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas, serta Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang yang diadakan di Hung Kiew Kee Restaurant pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Dato' Sri Huang menekankan kepentingan Perayaan Kuih Bulan yang bakal berlangsung pada hari Selasa depan.

Beliau memuji usaha pihak penganjur yang berjaya menjadikan majlis ini satu perhimpunan keluarga besar yang bukan sahaja memelihara tradisi perayaan, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

"Majlis ini bukan sekadar meraikan perayaan, tetapi juga merupakan platform untuk memperkukuh ikatan kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat," kata berucap dalam majlis tersebut.

Dato' Sri Huang turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik pada malam tersebut, dengan menegaskan bahawa pendidikan adalah elemen penting dalam memastikan kemajuan negara.

"Pendidikan adalah asas utama dalam melahirkan generasi yang cemerlang dan berdaya saing. Oleh itu, ia perlu terus diberikan penekanan demi masa depan yang lebih gemilang," tegas beliau.

Selain itu, beliau juga berkongsi pencapaian pembangunan di Sarikei sepanjang lapan tahun perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

Jelasnya, pelbagai projek pembangunan infrastruktur asas, kemudahan pendidikan, serta sokongan terhadap pembangunan agama dan masyarakat telah dilaksanakan.

"Semua usaha yang dilakukan adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sarikei sentiasa terjaga dan terus meningkat," tambahnya.

Majlis tersebut turut disertai pelbagai lapisan masyarakat yang menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan penghargaan antara satu sama lain, mencerminkan nilai-nilai kekeluargaan dan saling menghormati di Sarikei. – EDISI UKAS