SIMUNJAN: Umat Islam perlu menyemai dan memahami dalam menjayakan saranan tema Sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu 'Al-Falah Pemacu Malaysia Madani'.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, pengertian al-falah yang diterjemahkan dalam realiti kehidupan, ia menjadi sumber kekuatan ummah Madani dengan masa depan yang lebih cemerlang.
"Tema sambutan Mauldiur Rasul tahun ini adalah Al-Falah Pemacu Malaysia Madani, jika diterjemahkan dalam realiti kehidupan akan menjadi sumber kekuatan serta pembakar semangat bagi memacu aspirasi Malaysia Madani yang mengarah kepada mewujudkan keadaan dan suasana kehidupan masa hadapan yang lebih baik dan cemerlang.
"Sesungguhnya kejayaan sesebuah negara tidak dicapai dalam sehari, tetapi melalui usaha yang berterusan dan komitmen semua pihak dari kepimpinan yang berwawasan hingga kepada penglibatan aktif rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1446H/2024M di Dewan Mesra Simunjan pada Isnin.
Rodiyah turut memuji semua ibu bapa atas penglibatan anak-anak mereka yang mengambil bahagian dalam beberapa acara, program atau pertandingan yang disediakan oleh pihak jawatankuasa penganjur di sepanjang sambutan Maulidur Rasul.
"Ini adalah langkah yang amat penting dalam kita membentuk generasi muda yang berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
"Usaha seperti ini yang wajar kita perlukan dan kita perkasakan agar anak-anak kita dapat membesar menjadi individu yang berjaya serta mempunyai nilai ritual yang kukuh," jelasnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris serta isteri Napsiah Abang Kaderi, Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan Seroji Ludin, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh dan Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi. -EDISI UKAS