SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik telah menghadiri Majlis Makan Malam Perayaan Kuih Bulan yang berlangsung di Dewan Terbuka SJK(C) Min Syn, Saratok pada Ahad.
Majlis yang dianjurkan oleh Alumni Pelajar SJK(C) Min Syn itu dihadiri kira-kira 800 orang daripada pelbagai kaum.
Dalam ucapannya, Friday menekankan bahawa Perayaan Kuih Bulan yang diraikan oleh masyarakat Tiong Hua merupakan tradisi penting yang disambut setiap tahun pada bulan Ogos hingga September ketika bulan sedang mengambang.
"Perayaan ini melambangkan harapan agar kehidupan akan berkembang seperti bulan purnama," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang adalah kunci kepada kesejahteraan bersama.
"Bulan mengambang diharap dapat membawa perpaduan yang lebih erat di kalangan kita semua," tambah beliau.
Selain itu, Friday juga menyatakan bahawa perpaduan dan toleransi yang baik akan memastikan ekonomi negeri Sarawak terus berkembang dan maju.
Katanya, dengan perpaduan yang kukuh, segala pembangunan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Majlis ini turut memperlihatkan semangat harmoni dan perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ADUN Kalaka Mohammad Duri, Pemancha Lim Guan Ann, Pemancha Thomas Lamit serta tetamu lain.-EDISI UKAS