Karnival LAKIL Berlangsung Meriah

Disiarkan pada 17 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


Karnival Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) berlangsung meriahsempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M dan Hari Malaysia 2024.

Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M Daerah Lundu pada Isnin telah dimulakan dengan perarakan yang disertai oleh 34 kontijen yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu agensi kerajaan, masjid/surau/kampung, persatuan dan sekolah.

Perarakan sejauh 3.4 kilometer tersebut telah diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.

Hadir sama, Pengerusi LAKIL, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu dan Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusuf Awang Mustapha.

Kelihatan semua kontijen bersemangat dengan keunikan yang dipamerkan melalui sepanduk dan peralatan-peralatan yang dibawa di samping memperagakan pakaian yang seragam mengikut kontijen masing-masing.

Turut diadakan penyampaian hadiah bagi pertandingan Islamic Idol yang dijuarai oleh Muhammad Farhan Sebli, manakala Pertandingan Zikir dimenangi oleh Kumpulan Zikir Sri Kandi Darul Ikhsan dari Kampung Semunin Jaya. 

Manakala, cabutan bertuah utama untuk karnival ini iaitu mendapat pakej Umrah selama 12 hari 11 malam telah dimenangi oleh Karina Tapa dari Kampung Stungkor.-EDISI UKAS