SIBU: Sebanyak 1,000 Kuih Bulan halal diagihkan kepada orang ramai yang terdiri daripada pelbagai bangsa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha beliau untuk mengajak rakyat pelbagai bangsa untuk turut serta dalam perayaan tersebut.
Jelas beliau lagi, semua perayaan di Sarawak haruslah diraikan bersama tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang bagi memupuk semangat perpaduan.
"Kuih Bulan mesti halal supaya kita dapat menggalakkan, terutamanya rakan-rakan melayu kita untuk turut serta. Inilah semangat Sarawak. Setiap kali kita ada perayaan, semua kaum merayakannya.
“Setiap orang Sarawak dapat merayakan Gawai, orang Cina juga merayakan Gawai, begitu juga dengan Hari Raya. Jadi saya rasa ini adalah semangat yang betul, kita mempromosikan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Sambutan Perayaan Kuih Bulan di Taman Trafik Rejang Park, Sibu pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, pihaknya berpuas hati dengan sambutan dari orang ramai di mana jumlah pengunjung yang hadir melebihi sasaran yang beliau jangkakan.
Datuk Michael Tiang menambah, bentuk bulat tersebut sama seperti perpaduan kaum di Sarawak, di mana ia dapat dicapai sekiranya kita bersatu.
"Bulan Sarawak boleh menjadi sangat-sangat bulat apabila kita bersatu, walaupun kita berasal dari latar belakang yang berbeza, agama yang berbeza, dan bangsa yang berbeza, tetapi itu tidak menghalang kita untuk bersatu seperti bulan penuh, bulatan yang sempurna.
“Jadi, ini adalah perayaan yang sangat bermakna," ujar beliau.
Dalam pada itu, pelbagai persembahan dan program menarik telah diadakan sempena sambutan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Pelawan dan Pertubuhan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Pelawan tersebut yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. - EDISI UKAS