Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Serikan Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Di Mukah

Disiarkan pada 17 Sep 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menyempurnakan Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di Masjid Setia Raja di sini pada Isnin.

Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul merupakan satu perayaan Islam dan acara rasmi Kerajaan Sarawak yang diadakan pada setiap tahun.

Beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan ADUN Dato Safiee Ahmad.

Difahamkan, objektif sambutan bertujuan mengingati kembali peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sebagai contoh teladan kepada semua umat Islam.

Selain itu, objektif kedua adalah untuk meneliti sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW ketika untuk menyemarakkan kasih sayang umat Islam terhadap insan yang mulia ini.

Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib dan bacaan Yasin dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Ia diikuti dengan ceramah khas Maulidur Rasul oleh Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin, solat Isyak berjemaah dan zikir marhaban.

Selepas menjamu selera, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah berangkat pulang pada jam 9:30 malam.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah dan Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.

Pada keesokan hari, umat Islam akan berkumpul di Dataran Setia Raja sekitar jam 6:30 pagi untuk aktiviti perhimpunan dan perarakan Maulidur Rasul. -EDISI UKAS