BAU: Rakyat di negeri ini harus berdiri teguh bersama Kerajaan Sarawak dalam menuntut hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah berusaha keras untuk mengambil balik hak dan kepentingan negeri ini yang terhakis dalam perjanjian tersebut.
Menurutnya, generasi hari ini juga harus mengetahui kandungan yang termeterai dalam MA63.
"Harapan kita agar Sarawak terus maju dan makmur apabila kita laksanakan apa yang termaktub dalam MA63," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Santai Biro Wanita Kampung Serikin di Sekolah Kebangsaan (SK) Serabak, Kampung Serikin di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru menegaskan, tiada keperluan bagi mengadakan sebarang rundingan lagi kerana rundingan itu telah lama diadakan sebelum termeterainya perjanjian pada tahun 1963 yang kini tinggal hanya perlu dilaksanakan sahaja.
"Hari ini cukup bermakna kerana kita memperingati tujuan penubuhan persekutuan Malaysia apabila perjanjian antara Wilayah Sabah, Wilayah Sarawak dan Malaya pada 61 tahun lepas, ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 di bawah Geran Projek Khas tahun 2025 kepada Biro Wanita Kampung Serikin bagi mengadakan aktviti mereka pada tahun hadapan.-EDISI UKAS