Sarawak Maju Makmur Simbol Progresif Rakyat Berbilang Kaum

Posted on 16 Sep 2024
Source of News: UKAS


SONG: Tema sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak pada tahun ini, Sarawak Maju Makmur mempunyai signifikan yang sangat mendalam dan dekat dengan hati rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata tema tersebut selari dengan keinginan rakyat Sarawak untuk melihat dan menikmati kemajuan dari aspek kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan.

Dari aspek pembangunan Islamiah katanya, Sarawak Maju Makmur adalah juga melihat kepada pembangunan mandiri jiwa kita yang pelbagai agama dan bangsa.

“Keberjayaan penganjuran majlis pada hari ini adalah merupakan contoh kecil betapa kita rakyat yang berbilang kaum telah bersatu hati dan bekerjasama bagi menjayakan majlis sambutan pada hari ini.

“Pembangunan Daerah Song juga merupakan bukti kerjasama dan keharmonian hidup pelbagai bangsa dan agama kita di Daerah Song,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Kapit di Gelanggang Futsal Daerah Song pada Isnin.

Beliau memetik kata-kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg yang menekankan agar semua rakyat berbilang kaum di negeri ini meningkatkan perpaduan.

Katanya, sejarah telah membuktikan sebuah negara yang tidak aman tidak akan dapat bergerak maju dan progresif.

“Oleh itu, kita sebagai rakyat Sarawak perlu memastikan Sarawak mempunyai asas yang kukuh ke arah kemajuan dalam tempoh lapan tahun akan datang sebelum memasuki tahun 2030.

“Bagi memastikan generasi kita akan datang bersama menikmati dan merasai pembangunan yang kita perjuangkan pada hari ini, kita jadikan perjuangan generasi dahulu sebagai role model perjuangan kita pada hari ini,” tambahnya.

Tegas Lidam, akhlak dan pemikiran anak bangsa perlu kekal di garisan dan landasan yang betul seiring dengan usaha mengejar kemajuan.

Bagi memastikan etika yang baik ini dikekalkan maka bersamalah menjadikan diri kita sendiri sebagai pemimpin di institusi rumah tangga, sekolah dan institusi pengajian tinggi, katanya.

Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Song dinobatkan johan Pertandingan Sepanduk Dan Perarakan, Land Survey Kapit tempat kedua dan Kampung Bistari Kapit di tempat ketiga.

Manakala Komuniti Islam Long Busang merangkul Anugerah Khas Pasukan Terbaik. - EDISI UKAS