Gawai Bazaar 2024 Di MJC Batu Kawa, 16 hingga 26 Mei Ini

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Buat julung kalinya, Gawai Bazaar sempena sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak tahun 2024 akan diadakan di MJC Batu Kawa, di sini pada 16 hingga 26 Mei ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Gawai Bazaar 2024, Miro Simuh berkata, bazaar tersebut kelak dijangka akan memuatkan sebanyak 180 gerai menjual makanan, minuman serta kraf tangan bagi memberi peluang kepada usahawan kecil memajukan perniagaan mereka.

Dalam masa sama katanya, pelbagai acara menarik dan aktiviti sampingan turut akan diadakan selama 11 hari bazaar itu berlangsung bagi memeriahkan lagi suasana, di samping memperkayakan pengalaman pengunjung ke situ.

"Begitu banyak aktiviti-aktiviti yang akan dilaksana terutama pada sebelah malam, yang mana gerai-gerai akan mula beroperasi pada pukul 2 petang hingga 12 tengah malam.

"Kita juga ada menempatkan pentas utama untuk pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian yang akan dihiburkan oleh artis-artis tempatan.

"Oleh itu, saya menyeru orang ramai terutama masyarakat dayak yang bakal menyambut hari gawai pada 1 dan 2 jun nanti, sebelum balik kampung atau ke rumah panjang, bolehlah singgah ke Gawai Bazaar 2024 untuk membeli juadah-juadah seperti kek, biskut dan apa sahaja keperluan bagi persediaan Gawai kelak,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Gawai Bazaar Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak Bil.2/2024 di Pejabat Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), di sini pada Rabu.

Jelasnya lagi, penganjuran yang memasuki edisi keempat ini akan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Gawai Bazaar 2024, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 17 Mei 2024.

Pada tahun ini, masyarakat Bidayuh merupakan jawatankuasa penganjur utama bagi sambutan gawai peringkat negeri Sarawak.

Sehubungan itu, berbeza dengan penganjuran yang lepas, Gawai Bazaar 2024 diadakan dengan simbolik 'maad kasah' yang membawa maksud 'buka tikar' dalam bahasa Bidayuh, menandakan permulaan sambutan Hari Gawai.-Edisi UKAS