SRI AMAN: Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar perayaan, tetapi menjadi platform penting untuk membimbing generasi akan datang dalam menghayati perjalanan enam dekad Malaysia menuju kemajuan dan kemakmuran.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata sambutan tahunan ini memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk memperingati tarikh bersejarah 16 September 1963 yang dianggap sebagai titik penting dalam sejarah negara.
Tarikh ini, katanya, perlu sentiasa disuburkan dalam jiwa setiap rakyat.
Beliau turut menjelaskan bahawa tema sambutan tahun ini, “Malaysia Madani Jiwa Merdeka” mencerminkan aspirasi untuk memperkukuhkan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.
“Tema ini juga bertujuan untuk melahirkan warganegara yang memiliki nilai-nilai murni serta semangat kenegaraan yang tinggi, selain terus berjuang untuk mencapai kemakmuran bersama.
“Jiwa Merdeka bukan hanya bermaksud kebebasan, tetapi juga komitmen untuk berusaha memperkukuhkan pendidikan, ekonomi, dan perpaduan agar kita dapat mengatasi pelbagai cabaran yang mendatang,” kata Dato Sri Roland dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya pengetahuan sejarah penubuhan Malaysia bagi membentuk generasi yang celik sejarah.
Menurutnya, bangsa yang berjaya digerakkan oleh generasi yang memahami asal-usul mereka, dan pemahaman ini akan membentuk jati diri yang kental serta menzahirkan identiti anak Malaysia yang penuh dengan semangat kenegaraan.
Di samping itu, dalam ucapannya beliau juga memberikan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin terdahulu dari Sarawak dan Sabah yang memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia.
Dato Sri Roland menyeru agar jasa-jasa pejuang yang menegakkan kedaulatan Sarawak dan Malaysia diiktiraf secara menyeluruh, termasuk mereka yang terlibat dalam mencorakkan pendapat awam semasa penubuhan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 ini dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat, menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan patriotisme di kalangan rakyat Sarawak.
Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan tetamu kenamaan lain.-EDISI UKAS