Kerjasama Semua Rancakkan Pembangunan Kawasan

Disiarkan pada 17 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Kerjasama semua terutamanya Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) dan masyarakat setempat amat diperlukan untuk merancakkan pembangunan sesebuah kawasan.
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing setiap pembangunan mampu merapatkan jurang kemajuan antara kawasan bandar dan luar bandar.
 
Dalam hal ini katanya, Sarawak beruntung kerana dipimpin oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sentiasa menitikberatkan pembangunan rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar.
 
Ini dibuktikan dengan Kerajaan Sarawak sentiasa meluluskan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan Geran Khas bagi memacu pembangunan di kawasan luar bandar, katanya.
 
Datuk Ding berkata demikian dalam Lawatan Hari Kedua Rumah Panjang Di Kawasan DUN Meradong pada Selasa.
 
Katanya, pembangunan di Meradong dirancakkan dengan adanya wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah membawa perubahan ke kawasan tersebut dari segenap aspek pembangunan.
 
Dalam lawatan tersebut, Datuk Ding bersama rombongan telah meninjau enam buah rumah panjang di kawasan Jambatan Merah dan Sg Janting Bintangor.
 
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pasukan petugas khas daripada Jabatan Premier Sarawak akan mengadakan program untuk membantu individu yang tiada dokumen pengenalan diri pada 10 Jun hingga 14 Jun di Pejabat Daerah Meradong. - EDISI UKAS